OGOS 2025

Kompleks Baharu Majlis Perbandaran Padawan Simbol Aspirasi Pembangunan Lestari


KUCHING, 28 Ogos 2025 – Sebuah kompleks pejabat baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bakal menjadi mercu tanda baharu pembangunan moden dan lestari di kawasan Padawan, sekali gus berfungsi sebagai pusat sehenti bagi penyampaian pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

Kompleks baharu yang akan dibina di Batu 12, Jalan Kuching–Serian ini menampilkan sebuah bangunan setinggi sembilan tingkat dengan nilai pembangunan berjumlah RM70 juta. Projek tersebut merupakan sebahagian daripada pelan induk pembangunan seluas 20 ekar yang akan dilaksanakan secara berfasa, melibatkan lima fasa utama.

Fasa pertama kini sedang berjalan dengan kerja tanah yang bermula sejak Julai lalu, manakala fasa kedua melibatkan pembinaan struktur utama dijangka bermula pada suku kedua tahun 2026. Seluruh kompleks dirancang siap dalam tempoh tiga tahun.

Mengutamakan konsep kelestarian, kompleks ini dibangunkan mengikut piawaian Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang menzahirkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Antara ciri utama yang diterapkan termasuklah sistem penjimatan tenaga, penuaian air hujan, pengudaraan semula jadi, penggunaan bahan binaan mampan serta pemasangan panel solar di kemudahan sokongan seperti tempat letak kereta berbumbung.

Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, menegaskan bahawa pembinaan kompleks tersebut melambangkan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Padawan, Kuching, dan Sarawak secara keseluruhannya sebagai sebuah negeri maju, hijau serta berdaya tahan pada masa hadapan.

“Dalam merancang pembinaan sesebuah bangunan, perancangan yang teliti dan berteraskan prinsip kelestarian amatlah penting. Pokok-pokok tidak seharusnya ditebang sembarangan, sebaliknya jika perlu, ia boleh digali dan dialihkan ke kawasan lain yang lebih sesuai. Kehijauan alam ini mesti dipelihara kerana pokok berperanan menyerap karbon dan menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, sihat dan kondusif,” ujar beliau. 

“Hanya dengan pendekatan sebegini, barulah kita dapat mengangkat imej Sarawak sebagai green and smart city,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kompleks Baharu MPP, di sini, hari ini.

Kompleks pejabat baharu ini bukan sahaja dijangka meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan Padawan sebagai sebuah kawasan yang lebih moden, teratur, dan berorientasikan kelestarian.